02/11/2010

Menghadapi Saat Sukar(last part)

Susunan Abansey

Dalam edisi yang kedua,saya telah kongsikan dua daripada lima langkah penyembuhan yang disyorkan oleh Elizabeth Kubler-Ross. Langkah pertama adalah penafian (denial) dan meluahkan perasaan marah (anger). Perkara awal ini lebih memfokuskan kepada tahap para sedar manusia iaitu berkenaan emosi dan fikiran. Bagaimana untuk mengekspresikan perasaan marah dengan cara yang sebenar akibat perceraian. Luahkan perasaan marah anda tapi pastikan tidak mencederakan diri sendiri atau mengancam orang sekeliling.Bila kita menafikan bahawa kita tidak bersedih atau tertekan dengan situasi perceraian,itu adalah normal kerana permulaan untuk mengakui sesuatu adalah dengan menafikan perkara itu. Kelihatan mudah tetapi pasti perit untuk dimulakan oleh anda yang telah lama merasakan kesakitan itu.Walaupun demikian,laksanakan langkah-langkah ini sebelum anda meneruskan kepada tiga langkah seterusnya yang akan saya bincangkan pada edisi ketiga ini.

Langkah ketiga adalah menawarkan (bargaining) kebarangkalian atau lebih saya suka nyatakan dalam perkataan mudah iaitu pendekatan KALAU (IF). Kenapa saya katakan pendekatan KALAU kerana perkataan ini sentiasa digunakan oleh mereka yang suka menafikan perasaan sebenar dan sentiasa memberontak akibat perceraian.  Dalam situasi yang sering kita lihat,remaja yang sentiasa bersendirian suka memikirkan sesuatu perkara sama ada baik atau tidak. Dalam kes perceraian, remaja biasanya akan berfikiran lebih negatif. Contohnya ayat seperti ‘Kalaulah saya ada peluang untuk memulihkan keadaan hubungan ibubapa saya yang telah bercerai...,kalaulah saya menjadi anak yang menjadi kebanggaan ibubapa saya...’,kalaulah saya mampu kembali kepada keadaan sebelum ibubapa saya bercerai...’dan banyak lagi yang mereka akan bayangkan. Perkara ini tidak salah dilakukan kerana langkah ini mampu membantu anda untuk memikirkan perkara yang lebih baik untuk masa akan datang. Jika anda berfikiran bahawa hubungan ibubapa dan anak-anak telah mempengaruhi perpisahan ini,maka anda akhirnya tahu perkara yang perlu dilakukan adalah memperbaiki hubungan anda dan ibubapa anda selepas ini. Anda akhirnya akan mengetahui bagaimana keadaan keluarga anda sebelum perceraian berlaku. Jadi,tidak salah untuk anda memikirkan sesuatu. Yang penting jangan salahkan diri atau salahkan Tuhan untuk keadaan yang telah berlaku.

Langkah seterusnya adalah mengalami tekanan (depression). Bukan sekadar tekanan biasa tetapi tekanan berat akibat perpisahan ibubapa anda. Perasaan seperti berhadapan dengan tembok pemisah situasi bahagia berbanding rakan-rakan yang lain mungkin akan anda rasakan saat itu. Kadang-kadang akan terasa seperti berada di dalam lubang kekelaman yang dalam. Perkara yang biasa berlaku adalah kesukaran untuk tidur berkualiti sehingga anda tidak sedar matahari bersinar di siang hari. Suasana-suasana seperti ini pasti akan anda hadapi atau sedang anda hadapi. Perkara yang paling melampau akan anda lakukan adalah mengabaikan pelajaran,ponteng sekolah,tidak fokus pada kerja pejabat dan akhirnya menyeksa diri sendiri. Biarkan perkara ini anda hadapi tetapi dengan kesedaran diri. Bukannya tanpa anda sedari. Langkah seterusnya apabila berhadapan dengan tekanan adalah berkongsi dengan orang lain mengenai tekanan yang anda hadapi. Kongsikan bagaimana perasaan anda dan jangan segan malu untuk menangis di depan mereka. Airmata dan perkongsian perasaan adalah langkah penyembuhan tekanan yang anda hadapi.

Ahirnya langkah terakhir adalah penyelesaian kepada inginkan perubahan iaitu penerimaan (acceptance) segala perasaan. Ini adalah perkara terakhir yang perlu anda lakukan untuk melepaskan kepahitan perasaan yang anda alami akibat perpisahan. Anda mungkin akan masih menyimpan kesakitan itu tapi kesakitan itu tidak akan lagi menguasai dan menentukan arah tuju hidup anda. Terima kenyataan bahawa perpisahan itu telah berlaku dan anda harus menerima segala perkara yang akan berlaku akibat perpisahan itu. Anda mungkin akan mengalami segala perasaan ini dalam masa lima minit atau lima hari atau lima minggu atau lima tahun...ianya terpulang kepada tindakan anda untuk bergerak ke peringkat-peringkat yang saya telah kongsikan dalam beberapa edisi ini. Selamat membaca dan bersama-samalah menjadi individu yang tabah selepas ini.



That’s my desire for you.

0 comments: